
13 JUN 2024 – Bersempena Bulan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah menjadi tuan rumah bagi Majlis Peluncuran Penutup PRSK dan Pelancaran Program Sekolah Angkat Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) yang melibatkan 600 orang peserta daripada 20 buah Universiti Awam (UA) di Dewan Panggung Percubaan, UPSI.
Majlis Peluncuran Penutup PRSK dan Pelancaran Program Sekolah Angkat Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA) merupakan program kerjasama MAKUMA dengan tema ‘PRS Cemerlang Teras Kesejahteraan Kesihatan Mental Mahasiswa Madani’. Tujuan program ini adalah untuk membimbing mahasiswa bukan sahaja cemerlang dalam aspek akademik, tetapi juga dalam membentuk peribadi yang sihat dalam kesejahteraan minda berfokuskan kepada bimbingan dan psikologi kaunseling
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) Universiti Malaya, Prof Dr. Sabri Musa selaku Timbalan Pengerusi MAKUMA, menyatakan dalam ucapan aluannya menyatakan, “Sepanjang bulan PRSK, pelbagai program dan aktiviti telah diadakan yang bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai insaniah, meningkatkan kemahiran kepimpinan, serta memupuk semangat kerjasama dan kesedaran pengurusan kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa.”
Tambah beliau lagi, MAKUMA akan terus berfungsi melalui pelaksanaan Program Sekolah Angkat MAKUMA yang akan melibatkan peranan PRS dan Pusat Kaunseling di 20 buah universiti awam untuk memperlihatkan peranan dan fungsi MAKUMA bersama pihak komuniti dan masyarakat.
Timbalan Naib Canselor HEPA UPSI, Prof Dr. Khalid Salimin dalam ucapan perasmiannya berkata, “Isu kesihatan mental dalam kalangan belia dari umur 15 hingga 30 tahun berada di tahap yang membimbangkan dan secara keseluruhannya, 71.91 peratus belia berisiko sederhana berhadapan dengan masalah kesihatan mental.”
Beliau menegaskan bahawa PRS berperanan sebagai ‘frontliners’ atau mata-mata kepada kaunselor dan pihak universiti dalam memantau, mengesan, membimbing dan membantu rakan-rakan yang memerlukan seseorang untuk meluahkan perasaan, bimbingan, menyelesaikan masalah mahupun membuat keputusan.
Majlis ini turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Kesejahteraan Mahasiswa, Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Jabatan Pendidikan Tinggi, Kementerian Pengajian Tinggi, Kalipayan A/L Rajakumaran, Pengarah Pusat Kaunseling UPSI, Dr. Pau Kee, Ketua Felo Sekretariat Majlis Kaunseling Universiti Awam Malaysia (MAKUMA), Sharizan Samad dan Presiden Perwakilan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan, Imad Hassan Basri.
Related Posts
UPSI Tekad Meningkatkan Minat Mahasiswa Dalam Subjek Matematik
Minggu Destinasi Ukhuwah: KAB Menyambut Mesra Pelajar Baharu Ambilan September 2024/2025
Program GECE CAMP 2024 FPM UPSI Kukuhkan Jaringan Antarabangsa
Program SiswaConnected@FSK Menyatukan Visi, Menggapai Cita
Pembentangan MyRA 2023 kekalkan kelas Lima Bintang
UPSI salur bantuan pendidikan kepada 5,387 murid di Perak