25 Jun 2024 – Perpustakaan Tuanku Bainun, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kini menjadi salah satu daripada enam institusi pengajian tinggi terpilih yang menempatkan ISRA Corner, sebuah inisiatif penting untuk memperkaya pengetahuan dan pengalaman dalam bidang kewangan Islam.Projek ini dijayakan dengan penajaan oleh CIMB Islamic Bank serta kerjasama International Centre of Education in Islamic Finance (INCEIF) University dan Pusat Penyelidikan Syariah Antarabangsa untuk Kewangan Islam (ISRA).Sejak tahun 2021, CIMB Islamic Bank telah bekerjasama dengan ISRA untuk projek ISRA Corner, dan sehingga kini, enam institusi pengajian tinggi tempatan telah menempatkan sudut ini, termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Universiti Islam Antarabangsa, Politeknik Nilai, Universiti Sains Islam Malaysia, dan Universiti Islam Selangor. Pada tahun 2024, CIMB Islamic Bank telah menyalurkan dana sebanyak RM315,000 untuk projek ISRA Corner di enam universiti tempatan terpilih, termasuk UPSI.Majlis peluncuran ISRA Corner disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Norkhalid Salimin, yang bertindak sebagai pemangku Naib Canselor UPSI. Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Rahim Razalli; Pendaftar Helmi Zaifura Abdul Rahman; Bendahari Mohamad Najib Mohamed, dan Dekan Fakulti Pengurusan dan Ekonomi, Prof. Madya Dr. Mohd Asri Mohd Noor.Dalam ucapannya, Prof. Dr. Norkhalid Salimin menyatakan harapannya agar Perpustakaan Tuanku Bainun menjadi kunjungan utama para penyelidik untuk mengakses bahan-bahan berkaitan perbankan dan kewangan Islam. “Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen kita bersama dalam membentuk generasi pemimpin masa depan yang berilmu dan berwawasan,” ujar beliau.ISRA Corner merupakan ruang sehenti yang menampilkan semua penerbitan INCEIF termasuk kertas penyelidikan, buku teks, dan jurnal ilmiah. Ia dilengkapi dengan dua terminal komputer khusus yang memberikan akses percuma kepada Repositori Pengetahuan Kewangan Islam (I-FIKR).Repositori ini ialah platform inovatif dan dinamik yang dimulakan untuk memenuhi permintaan industri yang semakin meningkat terhadap pengetahuan yang kukuh tentang ekonomi dan kewangan Islam daripada sumber yang bereputasi. Perpustakaan Tuanku Bainun adalah antara enam lokasi strategik yang terpilih untuk menempatkan ISRA Corner.“ISRA Corner akan menjadi pusat sumber dan rujukan bagi pelajar dan pensyarah untuk mendalami ilmu kewangan Islam serta aplikasi praktikalnya.Saya yakin, dengan adanya ISRA Corner, pelajar-pelajar kita akan lebih terinspirasi untuk meneroka bidang kewangan Islam dengan lebih mendalam dan menghasilkan kajian-kajian yang berkualiti tinggi,” tambah beliau.
Related Posts
- Perbincangan Kerjasama Rakan Strategik – Universitas Pendidikan Ganesha, Bali dan Fakulti Komputeran & Meta Teknologi UPSI
- Praktis pembelajaran menarik di Program Jelajah Sains dan Matematik
- Program Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) Bitara UPSI Perak jadi Hub OKU
- Peluncuran Komitmen Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya, Kendurian & Kiesta Lambang Keunikan Dan Satu Hati UPSI
- Lawatan Universitas Negeri Semarang: Sokong Perkembangan Awal Kanak-Kanak
- Geoenviro Sustainability Community Dan Karnival Keluarga Madani Desa Kenari: Muafakat Dalam Lestari Alam Sekitar