
25 Jun 2024 – Pembelajaran melalui kemahiran saintifik memberi impak positif kepada perkembangan awal kanak-kanak dengan menekankan kemahiran sains awal. Kemahiran ini fokus kepada perkembangan deria dan pemahaman dunia persekitaran. Kanak-kanak mempelajari sesuatu konsep dengan baik melalui pendedahan aktiviti yang dilakukan dengan pemerhatian, penerokaan, dan penyiasatan mendalam terhadap topik yang diminati.
Bagi memastikan setiap kanak-kanak di Pusat Penyelidikan Perkembangan Kanak-kanak Negara (NCDRC) mendapat pendidikan terbaik, NCDRC mula mengorak langkah mendedahkan kanak-kanak berusia empat tahun kepada aktiviti penerokaan alam sekitar melalui penyiasatan sifat bahan. Aktiviti ini melibatkan penerokaan dan pemerhatian penyiasatan terhadap buah lemon dan soda. Seramai 20 orang kanak-kanak terlibat dalam aktiviti ini yang dijalankan oleh pendidik NCDRC.
Pengarah NCDRC, Prof. Madya Dr. Mazlina Che Mustafa, menyatakan bahawa kanak-kanak lebih memahami sesuatu topik jika terlibat secara langsung dalam aktiviti penyiasatan, terutamanya dalam penerokaan bahan dan alam. Kanak-kanak dapat memerhati dan melihat sendiri perubahan yang berlaku serta dapat menyatakan pandangan mereka.
Pengurus NCDRC, Norazlina Khairuddin, berkata bahawa kanak-kanak di NCDRC sudah mula didedahkan dengan aktiviti saintifik sejak usia bayi lagi. “Aktiviti sebegini telah kami dedahkan kepada kanak-kanak sejak mereka berusia bayi melalui aktiviti-aktiviti yang telah dirancang secara bersesuaian dengan perkembangan umur. Kita dapat lihat perbezaan yang berlaku dari segi tindak balas kanak-kanak mengikut usia.”
NCDRC terus komited melestarikan pembelajaran yang bersesuaian, seimbang, dan menarik bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan terbaik. NCDRC juga bersedia berkongsi kepakaran pendidik kepada komuniti dan masyarakat.
Related Posts
Perasmian Pameran Biblioterapi Perkukuh Literasi Emosi Melalui Pembacaan
UPSI Tekad Meningkatkan Minat Mahasiswa Dalam Subjek Matematik
Minggu Destinasi Ukhuwah: KAB Menyambut Mesra Pelajar Baharu Ambilan September 2024/2025
Program GECE CAMP 2024 FPM UPSI Kukuhkan Jaringan Antarabangsa
Program SiswaConnected@FSK Menyatukan Visi, Menggapai Cita
Pembentangan MyRA 2023 kekalkan kelas Lima Bintang