
26 Jun 2024–Fakulti Sains dan Matematik (FSM) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPSI sidang 2023/2024 menganjurkan Majlis Apresiasi Kepimpinan Mahasiswa FSM 2024. Majlis ini telah berlangsung di perkarangan Foyer Blok 1, FSM. Menyahut seruan Rabu untuk Qalbu, majlis ini telah dihadiri oleh 160 pemimpin pelajar yang bernaung di FSM.
Sebanyak sepuluh kumpulan pimpinan mahasiswa telah diraikan terdiri daripada MPP FSM dari sidang 2021 sehingga sidang 2024, Persatuan Mahasiswa Matematik UPSI (PMMU), Persatuan Mahasiswa Sains (PMS), Rakan Alam Sekitar (RAS), Kelab Rakan Astronomi (RASTRO), Majlis Fasilitator KEBINA, Majlis Ketua-Ketua Batch FSM, Pasukan XPERT FSM, Pasukan SSCOM FSM dan STEM Ambassadors FSM.
Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Dekan Akademik & Antarabangsa FSM, Profesor Madya Dr. Som Cit A/P Sinang. Dalam ucapan beliau, beliau mengharapkan agar kesemua kumpulan pemimpin pelajar ini dapat berganding bahu dan bersinergi dengan pelbagai pihak baik dari dalam atau luar UPSI dalam memastikan mahasiswa FSM yang holistik dapat dilahirkan selain terbentuknya program dan aktiviti yang lebih berimpak tinggi.
Dalam ucapan alu-aluan pula, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar & Alumni FSM, Dr. Mohd Ikhwan Hadi Yaacob juga turut menyeru agar barisan pemimpin mahasiswa FSM dapat meneruskan kecemerlangan dalam semua bidang tanpa melupakan adab yang terpuji serta mengekalkan tatasusila yang murni agar dapat menjadi contoh kepada rakan-rakan mahasiswa yang lain.Setiap kumpulan pimpinan mahasiswa FSM mempunyai fungsi dan peranan yang khusus, serta diberikan bidang tugas yang spesifik melalui lantikan oleh Dekan FSM. Majlis Ketua-ketua Batch misalnya berperanan untuk memimpin serta menyampaikan maklumat kepada rakan-rakan selain berganding bahu dengan penasihat akademik dalam memastikan perjalanan akademik lancer sepanjang pengajian. Pasukan XPERT FSM pula menjalankan tanggungjawab khusus dalam pengurusan acara dan aktiviti di peringkat fakulti, antara lain terlatih dalam protocol serta pengacaraan majlis rasmi dan tidak rasmi. Berbeza pula dengan Majlis Fasilitator KEBINA, yang berperanan merancang dan melaksana Kem Bina Insan BITARA sebagai medium melatih mahasiswa baharu. Majlis fasilitator kesemuanya telah menjalani ToT dan latihan kemandirian khusus termasuk latihan aktiviti luar dan sukan air.
Selain itu, STEM ambassador pula mengumpulkan lebih 40 orang mahasiswa yang terlatih dalam menganjurkan aktiviti penggalakan STEM kepada pelbagai lapisan masyarakat serta sentiasa bersiap siaga dalam memenuhi jemputan jauh dan dekat berkaitan aktiviti STEM. Dalam aktiviti dan kerja kesukarelawanan pula, pasukan Student Sustainability Committee (SSCOM) bertanggungjawab mengekalkan keceriaan Student Lounge FSM, menyelenggara kebersihan landskap sekitar premis FSM dan mengekalkan kebersihan enam buah surau di FSM. Pasukan ini juga menjalankan rondaan berkala dan rawak bagi mengekalkan keharmonian sekitar lima blok FSM.
Dalam majlis ini, seluruh barisan pemimpin pelajar FSM telah diberikan sijil penghargaan atas khidmat bakti yang telah dan sedang mereka curahkan kepada fakulti dan universiti. Penganjuran majlis ini diharapkan dapat membakar semangat barisan pimpinan mahasiswa FSM agar dapat terus berjasa dengan Amanah dan menabur bakti tanpa jemu baik semasa pengajian mahupun setelah tamat tempoh pengajian.
Related Posts
UPSI Tekad Meningkatkan Minat Mahasiswa Dalam Subjek Matematik
Minggu Destinasi Ukhuwah: KAB Menyambut Mesra Pelajar Baharu Ambilan September 2024/2025
Program GECE CAMP 2024 FPM UPSI Kukuhkan Jaringan Antarabangsa
Program SiswaConnected@FSK Menyatukan Visi, Menggapai Cita
Pembentangan MyRA 2023 kekalkan kelas Lima Bintang
UPSI salur bantuan pendidikan kepada 5,387 murid di Perak