‘Protect Muslimah Dignity’ Tingkatkan Martabat Wanita Muslim

30 Jun 2024 – Program Protect Muslimah Dignity adalah program yang berkonsepkan kerohanian dibawah anjuran Exco Latihan Dan Perpaduan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA) dengan kerjasama Pusat Ulul Albab, (PUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Program ini berlangsung pada 8 Jun lalu bertempat di Student Lounge Bitarasiswa, yang membabitkan 50 peserta.

Program ‘Protect Muslimah Dignity‘ atau ‘Menjaga Kehormatan Muslimah’ adalah inisiatif yang bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan perlindungan terhadap kehormatan dan martabat wanita Muslim. Program ini dikaitkan dalam konteks sosial dan agama untuk mengajarkan nilai-nilai seperti kehormatan diri, martabat, dan kesucian bagi wanita muslim. Dalam Islam, wanita memiliki kedudukan yang tinggi dan memiliki hak-hak yang harus dilindungi.

Program ini adalah program Ceramah Perdana yang disampaikan oleh panel istimewa DMY, Finalis Dai’e Muda Yadim 2022 Nur Husna Mat Ghani.

Sepanjang program tersebut, peserta didedahkan dengan pengisian yang cukup menarik seperti kehormatan diri yang merupakan aspek penting dalam Islam yang harus dijaga oleh setiap individu, baik laki-laki maupun perempuan. Bagi wanita muslim, ini mencakup cara berpakaian, perilaku, dan interaksi dengan lingkungan sekitar. Program ini juga bertujuan untuk memartabatkan wanita Islam untuk menjadi role model kepada mahasiswi non muslim dan mendidik wanita muslim tentang nilai-nilai Islam yang menekankan pentingnya kehormatan dan kesucian diri dapat membantu mereka lebih sedar dan mampu mengambil langkah-langkah untuk menjaga diri mereka sendiri.

Penasihat program, Norhayati Aziz turut berkongsi pandangannya tentang pentingnya program ini terutama mahasiswi, tentang tanggungjawab kita untuk menjaga maruah diri termasuk cara berpakaian, tingkah laku, dan cara berinteraksi dengan orang lain,” katanya.

Program ‘Protect Muslimah Dignity’ antara inisiatif lainnya yang bertujuan untuk membawa kesedaran tentang pentingnya kehormatan diri bagi wanita muslim dalam konteks masyarakat moden yang kompleks. Diharapkan inisiatif ini dapat menjadi model bagi institusi-institusi pendidikan lain untuk melaksanakan program yang serupa demi menjaga maruah dan kehormatan mahasiswi Islam di seluruh negara.