Kunjungan Kasih Ke Pusat Jagaan Anak Yatim Dan Asnaf Zakat Baitul Mahabbah

30 Jun 2024 – Kelab Rakan Alam Sekitar (RAS), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) menganjurkan program Belia Mesra Alam Baitul Mahabbah dengan kerjasama Kelab Rakan Astronomi (RASTRO), Persatuan Gerakan Pengguna Siswa (GPS), Majlis Perwakilan Pelajar (MPP UPSI) dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEPA) yang berlangsung di Pusat Jagaan Anak Yatim dan Asnaf Zakat Baitul Mahabbah pada 30 Jun lalu.Program ini melibatkan 26 ahli dari Kelab RAS, 6 ahli dari Kelab RASTRO, 9 ahli dari GPS, serta dua pengiring dari Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP). Tujuan utama program ini adalah memupuk penglibatan belia dalam aktiviti sukarelawan terutama dalam kalangan mahasiswa universiti dan menjaga alam sekitar di kawasan komuniti pusat jagaan tersebut.Program ini diketuai oleh pengarah bersama dari Kelab RAS iaitu Anis Syafiqa Zaharaimi dan Muhammad Nor Hafizi Saleh. Menurut Anis Syafiqa, antara aktiviti yang dijalankan termasuklah pembersihan kawasan halaman rumah dan juga penanaman pokok yang berguna untuk masakan seperti pokok kunyit, daun pandan, dan pokok limau purut. Selain itu, terdapat juga aktiviti sokongan moral seperti permainan mengenali haiwan dan buruj yang melibatkan 40 kanak-kanak dari pusat jagaan.Menurut Muhammad Nor Hafizi, program ini juga dimeriahkan oleh kedatangan Jabatan Bomba dan Penyelamat Slim River yang memberi ceramah kebakaran dan demonstrasi peralatan lori bomba. “Kanak-kanak pusat jagaan sangat gembira dari riak wajah mereka yang kita dapat lihat,” katanya. Selain itu, kunjungan UPSI turut memberikan sumbangan sarapan pagi dan barang keperluan seperti beras dan plastik sampah. Hasil tinjauan sebelum program menunjukkan bahawa kanak-kanak di pusat jagaan tersebut mempunyai penyakit gatal-gatal pada anggota badan serta kekurangan ampaian baju untuk menyidai tuala mandi. Oleh itu, sabun antibakteria dan ampaian baju turut diberikan sebagai sumbangan.

Manfaat dari program ini adalah kawasan pusat jagaan anak yatim dan asnaf zakat Baitul Mahabbah menjadi lebih ceria dan moral kanak-kanak meningkat, di samping menambah ilmu pengetahuan mereka tentang alam sekitar dan mengenali jenis buruj.Menurut pengiring program, Nordiana Ramli, beliau mengharapkan program sukarelawan seperti ini dapat terus dilaksanakan pada masa akan datang. Pencarian dana sumbangan untuk golongan yang memerlukan juga perlu diusahakan agar nasib insan seperti ini terus terbela dan diambil berat oleh masyarakat. Sumbangan dari AJK Masjid Sultan Idris Shah 2 Slim River yang memberikan makanan dan minuman turut membantu menjayakan program ini.UPSI akan terus komited melestarikan budaya cintakan alam sekitar melalui program-program sukarelawan yang berimpak tinggi untuk membentuk jati diri mahasiswa yang prihatin terhadap kehidupan indah flora dan fauna. Kerjasama pelbagai pihak memberi warna baru dalam keharmonian masyarakat menjaga dan memelihara ekosistem sekaligus menjadikan UPSI sebagai peneraju kecemerlangan pembentukan sukarelawan holistik selari dengan gagasan universiti dalam melahirkan mahasiswa yang berjiwa besar dan tinggi nilai sahsiah diri.