13 Jun 2024 – Bersempena Bulan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan (PRSK) dan Sekolah Angkat MAKUMA, yang telah berlangsung pada 13 Jun bertempat di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah mendapat penyertaan aktif daripada semua Universiti Awam Malaysia. Penganjurannya dengan kerjasama Majlis Kaunseling Universiti Awam (MAKUMA) membawa tema ‘PRS Cemerlang Teras Kesejahteraan Kesihatan Mental Mahasiswa Madani’.Majlis Peluncuran Penutupan Bulan Pembimbing Rakan Siswa Kebangsaan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UPSI, Prof Dr. Norkhalid Salimin. Dalam ucaptama beliau telah menzahirkan rasa bimbang terhadap peratusan bilangan remaja yang menghidap masalah kesihatan mental seawall usia 13 tahun.Beliau menyatakan menurut laporan Kajian Profil Kesihatan Mental Belia Malaysia oleh Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (2023), seramai 6 daripada 10 orang belia bergejala kemurungan ringan ke teruk, 3 daripada 10 mempunyai gejala kebimbangan sederhana ke teruk, 1 daripada 10 mengalami tekanan yang tinggi dan 1 daripada 10 cenderung untuk bunuh diri. Secara keseluruhannya, 71.91 peratus belia berisiko sederhana berhadapan dengan masalah kesihatan mental.Bulan PRSK dilihat sebagai salah satu wadah yang dapat digunakan dalam usaha untuk menyebarkan pengetahuan dan kesedaran tentang masalah kesihatan mental yang kian menular dalam kalangan remaja. Trend atau pola yang kian meningkat seharusnya diambil serius oleh semua pihak ekoran remajalah yang bakal mewarisi tampuk kepimpinan negara.Inisiatif yang diambil oleh MAKUMA dalam program sekolah angkat dilihat dapat membantu pihak sekolah menangani isu berkaitan kesihatan mental dengan bantuan tenaga pakar yang berkebolehan. Penganjuran program-program yang dirancang dapat menyasarkan kepada golongan sasaran dengan lebih jitu dan berfokus.UPSI, melalui Pusat Kaunseling juga komited dalam membendung masalah kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa. Penganjuran aktiviti yang bermanfaat dan aspirasi BITARA dilihat mampu membantu melahirkan mahasiswa yang holistic dan seimbang serta berupaya mengawal daya tahan diri. Perkara ini dilihat sebagai satu langkah jangka panjang yang meninggalkan kesan dalam diri mahasiswa.
Related Posts
- Perbincangan Kerjasama Rakan Strategik – Universitas Pendidikan Ganesha, Bali dan Fakulti Komputeran & Meta Teknologi UPSI
- Praktis pembelajaran menarik di Program Jelajah Sains dan Matematik
- Program Pemulihan dalam Komuniti (PPDK) Bitara UPSI Perak jadi Hub OKU
- Peluncuran Komitmen Kampus Rendah Karbon, Revolusi Keselamatan Jalan Raya, Kendurian & Kiesta Lambang Keunikan Dan Satu Hati UPSI
- Lawatan Universitas Negeri Semarang: Sokong Perkembangan Awal Kanak-Kanak
- Geoenviro Sustainability Community Dan Karnival Keluarga Madani Desa Kenari: Muafakat Dalam Lestari Alam Sekitar