Program Rantaian Kasih perkasa komuniti melalui Modul Ulul Albab

22 Jun 2024- Pusat Ulul Albab (PUA) dan Kelab Sahabat Ulul Albab (KeSUA), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan kerjasama Syarikat Faiza Sdn Bhd dan Kesatuan Pelajar-pelajar Islam Perak (KPIP) berjaya menganjurkan Program Rantaian Kasih di Rumah Anak Yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah, Chemor, Perak.Program Rantaian Kasih bertujuan memberi pendedahan Modul Ulul Albab kepada anak-anak yatim Yayasan Amanah An-Nur Maisarah melalui pelaksanaan aktiviti bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan pelajar dalam menjalankan aktiviti berkumpulan. Selain itu, program ini juga memberi peluang kepada ahli KeSUA untuk beramah mesra bersama anak-anak Yayasan yang berbeza latar belakang di samping melahirkan ahli KeSUA yang bersifat simpati, empati dan prihatin terhadap mereka yang telah kehilangan insan tersayang dan mengalami kesusahan.Penasihat KeSUA, Norhayati Aziz berkata, “Program Rantaian Kasih ini merupakan siri kedua KeSUA mengadakan program bersama anak-anak Yayasan disini dan akan terus dijadikan sebagai program berterusan bersama Pusat Ulul Albab dan Kelab Sahabat Ulul Albab.” Jelasnya, Pusat Ulul Albab juga mengatakan hasrat ingin membawa anak-anak Yayasan berkunjung ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bagi meningkatkan motivasi anak-anak Yayasan untuk menyambung pelajaran ke menara gading.Program ini mengetengahkan pelbagai aktiviti menarik bersama anak-anak Yayasan seperti Slot Ice Breaking, Slot Smart and Fun Learning Science pada waktu pagi dan Slot Modul Ulul Albab pada waktu petang. Ketiga-tiga slot yang dibawa adalah daripada elemen-elemen Ulul Albab iaitu Quranik, Ensiklopedik dan juga Ijtihadik. Aktiviti bersama anak-anak Yayasan diteruskan lagi pada waktu sebelah petang dengan aktiviti gotong-royong dan menanam anak pokok buah serta bunga di sekitar rumah Yayasan. Antara aktiviti gotong-royong yang dijalankan adalah membersihkan kawasan dewan, bilik air, surau serta dewan makan.PUA dan KeSUA telah menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan keperluan yang disumbangkan oleh Syarikat Faiza Sdn Bhd serta kutipan wang sumbangan kepada anak-anak Yayasan Amanah An-Nur Maisarah. Semoga usaha PUA dan KeSUA dalam menghebahkan perkara kebajikan ini akan memberi semangat kepada masyarakat untuk menyalurkan bantuan sama ada dari segi wang ringgit mahupun barangan supaya program ini dapat dilaksanakan lagi pada masa hadapan. Diharapkan juga agar melalui program ini akan dapat melahirkan pelajar yang sentiasa mengambil perhatian kepada komuniti bukan sahaja dalam kalangan pelajar universiti tetapi lebih meluas serta membentuk lebih ramai modal insan berkualiti melalui penghayatan sebenar konsep Ulul Albab.