KKDW, UPSI dan UiTM Transformasi Kampung Angkat Madani

7 Ogos 2024 – Kampung Sungai Betul, Bagan Datuk, Perak telah dipilih menjadi Kampung Angkat Madani (KAM) oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, Malaysia (KKDW) baru-baru ini. Kewujudan KAM adalah bertujuan untuk menoktahkan masalah kemiskinan selain memastikan kemudahan serta prasarana asas di kawasan desa dapat dilengkapkan. Selain itu, program-program permerkasaan modal insan juga dilaksanakan dengan kerjasama Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Seri Iskandar, Perak iaitu Program Keceriaan Kampung pada 6 dan 7 Ogos 2024 bertempat di Sekolah Kebangsaan Sungai Betul.Program Keceriaan KAM ini meliputi program anak angkat, gotong-royong, lukisan mural sekolah, menaiktaraf kemudahan awam dan pemasangan tanda nama Kampung Sungai Betul. Program ini dilaksanakan untuk membina perhubungan dan kerjasama yang erat antara agensi kerajaan, komuniti kampung, dan agensi setempat. Program ini melibatkan hampir 150 orang pelajar dan kakitangan UPSI dan UiTM beserta 23 keluarga angkat mampu mewujudkan keharmonian dan persekitaran kampung yang kondusif, dengan fokus kepada peningkatan kualiti hidup penduduk serta mempromosikan suasana yang aman dan harmonis dalam masyarakat.