Menangani Pencemaran Udara: Inisiatif FSK UPSI ke Arah Matlamat SDGs 2030

Oleh: Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, Mohd Hairy Ibrahim daan Norsarah Ain Mohd Ramli

Tanjong Malim, 3 Jun 2025 – Keprihatinan terhadap cabaran alam sekitar seperti pencemaran udara dan perubahan iklim global telah mencetuskan inisiatif cemerlang oleh sekumpulan mahasiswa Kursus Kaji Iklim, Fakulti Sains Kemanusiaan (FSK), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui penganjuran program ‘Podcast: Usaha Dalam Menangani Isu Pencemaran Udara Demi Kestabilan Iklim’ pada 22 Mei yang lalu.

Program ini telah dilaksanakan secara dalam talian melalui platform Google Meet serta disiarkan secara langsung di media sosial menerusi TikTok Live dan Facebook Live. Ia berjaya menarik penyertaan seramai 302 peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk pelajar universiti, guru, kakitangan agensi kerajaan, dan orang awam.

Pengurusan program ini digerakkan sepenuhnya oleh mahasiswa Kumpulan 1(B) yang membentuk jawatankuasa pelaksana merangkumi bahagian teknikal, pengurusan media sosial, penyelidikan kandungan dan pengacaraan. Program dimulakan dengan ucapan pembukaan oleh wakil pensyarah pengiring merangkap penasihat akademik kumpulan. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan literasi iklim dalam kalangan mahasiswa serta peranan institusi pendidikan tinggi dalam melahirkan masyarakat yang peka terhadap isu alam sekitar.

Matlamat utama program ini adalah untuk memupuk kesedaran awam terhadap impak pencemaran udara, khususnya dalam konteks perubahan iklim global yang semakin membimbangkan. Penganjuran ini turut bertujuan mendedahkan masyarakat kepada dasar, perundangan dan langkah penguatkuasaan oleh agensi berkaitan seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam menangani isu pencemaran udara secara sistematik dan berkesan. Inisiatif ini menyokong pelaksanaan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11, 13 dan 17 ke arah gaya hidup yang lestari.

Selain itu, program ini menjadi medium untuk menggalakkan pembudayaan ilmu dan kesedaran iklim dalam kalangan belia, khususnya melalui platform digital dan media baharu seperti podcast dan siaran langsung yang lebih dekat dengan generasi muda. Lebih penting lagi, pelaksanaan program ini turut membuka ruang kepada pelajar untuk mengembangkan kemahiran insaniah dalam aspek komunikasi, pengurusan organisasi, kerjasama berpasukan serta literasi teknologi, selaras dengan keperluan pendidikan abad ke-21 yang menuntut keterampilan holistik.

Program diteruskan dengan sesi podcast ilmiah bersama tiga panel jemputan pakar. Panel pertama, Prof. Madya Dr. Mohd Hairy Ibrahim yang memberikan penjelasan mendalam mengenai mekanisme pemanasan global, peranan gas rumah hijau serta keperluan kerjasama kolektif antara negara dalam menangani isu iklim sejagat. Panel kedua, Dr. Mohamad Ihsan Muhamad Ismail, menekankan peranan pendidikan alam sekitar dalam membina nilai tanggungjawab dan kelestarian dalam diri generasi muda. Seterusnya panel ketiga, Pegawai Kawalan Alam Sekitar Kanan dari Jabatan Alam Sekitar (JAS), Aini Oriza Ramli berkongsi pengalaman lapangan berkaitan penguatkuasaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 termasuk kawalan pembakaran terbuka, pelepasan industri dan pengurusan aduan pencemaran udara.

Sesi diteruskan dengan soal jawab interaktif yang dikendalikan oleh moderator, Nur Hasha Herdina. Beliau berjaya mengemudi perbincangan secara dinamik dan teratur, menjawab pelbagai soalan daripada peserta melalui ruangan sembang Google Meet dan TikTok Live. Penglibatan peserta yang aktif mencerminkan keberkesanan pendekatan podcast dalam menyampaikan mesej ilmiah secara santai namun bermaklumat.

Program berjaya disempurnakan pada jam 4:00 petang secara dalam talian. Pelaksanaannya berjalan lancar dan teratur hasil perancangan rapi serta kerjasama erat dalam kalangan ahli kumpulan, merangkumi penyediaan kandungan, pengurusan teknikal siaran dan pengendalian tetamu jemputan. Penyertaan panel-panel berwibawa dalam bidang alam sekitar turut memperkukuh keberkesanan penyampaian maklumat kepada audiens.

Sepanjang program, suasana kekal interaktif, terkawal dan kondusif dengan penglibatan aktif peserta melalui sesi soal jawab di platform media sosial. Ucapan penghargaan dan terima kasih dirakamkan kepada ketiga-tiga panel jemputan serta para peserta yang telah meluangkan masa menjayakan program ini.

Sebagai penutup, sesi fotografi bersama Pensyarah Kursus Kaji Iklim (HGF3073) dan ahli Kumpulan 1(B) telah diadakan. Program ini mencerminkan komitmen mahasiswa UPSI terhadap kelestarian alam sekitar sejajar dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 11, 13 dan 17 sekali gus memperkukuh pembelajaran luar bilik darjah dan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu iklim dan alam sekitar.